mutakhir

Angkat ekor malam

Selat Karimata: Usaha mengangkat ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang ditemui Rabu lalu diteruskan malam tadi berikutan keadaan arus deras ketika usaha sama dilakukan pada sebelah siang gagal menaikkan objek penting berkenaan.

Memetik laporan portal Detik.com, keadaan arus pada sebelah malam diramal kembali tenang menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat membuat keputusan meneruskan usaha itu pada waktu malam.

Keadaan arus deras tidak membenarkan penyelam masuk sehingga kedalaman 35 meter yang menempatkan ekor pesawat berkenaan.

Sehingga kini, tali pengangkat serta satu beg apungan sudah diikat pada ekor pesawat dan kedua-dua alatan itu berkemampuan untuk mengangkat berat sehingga 10 tan.

Pasukan penyelam akan menyambung tugas pada sebelah malam dengan memasang tali kren dari Kapal Crest Onyx dan mengisi udara ke dalam beg apungan berkenaan.

Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Moeldoko berkata, pasukan SAR akan meneruskan usaha mencari kotak hitam, namun dikhuatiri alat penting berkenaan sudah tercampak keluar ketika pesawat itu terhempas.

“Mungkin kotak hitam itu sudah terpelanting keluar ketika terhempas dan kita juga bimbang jika berlaku kerosakan terhadap alat yang merakam segala data dan suara juruterbang itu.

“Jika ia terpelanting keluar, kita perlu menumpukan usaha untuk mencari isyarat kotak hitam berkenaan dan sudah pasti ia adalah tugas yang agak sukar,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2015 @ 5:42am
d