mutakhir

6 remaja kandas dalam hutan

Chukai: Enam sekawan terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah ketika memikat burung di hutan FELDA Cherul, dekat sini, berikutan air naik mendadak menyekat laluan keluar dari hutan itu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, enam remaja berusia antara 16 dan 18 tahun keluar dari rumah mereka di Kampung Chendor pada jam 6.30 pagi untuk memikat burung.

Katanya, mereka bertolak dengan menaiki motosikal berhajat keluar dari kawasan hutan pada sebelah petang.

“Sebaik keluar dari hutan pada jam 5 petang, mereka mendapati banjir naik mendadak dan menyekat perjalanan keluar.

“Seorang daripada mereka menghubungi keluarga dengan telefon bimbit memaklumkan kumpulan itu terperangkap ekoran air naik antara satu hingga 1.5 meter di atas jalan,” katanya.

Che Suza berkata, bapa saudara remaja yang berusia 40-an membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada jam 10.47 malam, kelmarin.

“Bertindak atas laporan berkenaan, sekumpulan empat anggota polis bergegas ke kawasan itu menaiki bot menyusuri Sungai Cherul dan tiba pada jam 1.30 petang.

“Enam remaja itu ditemui berlindung di rumah kongsi balak dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2015 @ 5:44am
d