mutakhir

IHH serah RM2 juta kepada dua NGO

Kuala Lumpur: IHH Healthcare Berhad (IHH) menyumbang RM2 juta kepada dua badan bukan kerajaan bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di negara ini.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Tan See Leng berkata, dana berkenaan disalurkan bagi melaksanakan fasa bantuan segera serta proses pemulihan selepas bencana yang dijalankan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan International Medical University (IMU).

Katanya, daripada jumlah berkenaan Mercy Malaysia menerima RM1.5 juta manakala IMU, RM300,000 dan bakinya akan digunakan untuk membantu keluarga kakitangan yang terjejas terutama di pantai timur.

“Bagi fasa bantuan segera, dana berkenaan digunakan untuk menyedia keperluan ubat-ubatan mangsa banjir di pusat perlindungan.

“Untuk fasa pemulihan pula, pihak terbabit akan menggunakan dana itu bagi membeli peralatan, ubat rawatan penyakit kulit selain untuk tujuan pemvaksinan,’ katanya pada majlis penyerahan cek sumbangan di ibu negara, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pantai Holdings Berhad Datuk Khairil Anuar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif (Divisyen Operasi Pantai) Parkway Pantai Ahmad Shahizam Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif (Divisyen Operasi Parkway) Parkway Pantai Dr Lim Suet Wun, Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dan wakil IMU Profesor Dr Abdul Aziz Baba.

Menurut Tan lagi, selaku peneraju penyedia penjagaan kesihatan swasta, pihaknya terpanggil untuk membantu mangsa banjir terutama dalam aspek penjagaan kesihatan memandangkan kebanyakan kawasan yang dinaiki air memerlukan masa untuk pulih kerana teruk terjejas.

“Kami berharap sumbangan berkenaan dapat membantu mangsa banjir yang memerlukan pertolongan dan bantuan perubatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2015 @ 5:48am
d