mutakhir

'Sambut' Krismas bersama jiran tak dikenali

Kuala Lumpur: Seorang anak tunggal tidak menyangka hajatnya menghabiskan cuti hujung tahun lalu bersama ibu bapanya dan menyambut perayaan Hari Krismas menyebabkan dia berkongsi pengalaman sepuluh hari bersama jiran tidak dikenali dan berlainan agama apabila kampung mereka dinaiki air luar biasa.

Wanita yang dikenali Joan berusia 27 tahun itu berkata, sejak 10 tahun tinggal di Kampung Tendong, Kota Bahru rumah dua tingkat milik keluarga tidak pernah dinaiki air, tetapi pada 24 Disember lalu kali pertama dilanda banjir sehingga dia dan keluarga terkurung selama 10 hari bersama sembilan yang lain termasuk empat jiran yang tidak dikenali.

“Perayaan Krismas lalu disambut bersama keluarga termasuk pakcik dan makcik dalam suasana gelap berikutan tiada bekalan elektrik dan kepenatan selepas memindahkan barang di kedai di pusat bandar yang terletak beberapa meter dari Sungai Kelantan serta meninggikan barangan eletrik dan makanan di rumah,” katanya.

Menurutnya, ketika duduk di balkoni bersama keluarga, melihat keadaan banjir dia ternampak jirannya yang tinggal selang beberapa rumah berjalan kaki bersama tiga anak mengharung arus deras untuk ke pusat pemindahan banjir berdekatan.

Berikutan bimbang keselamatan mereka, katanya bapanya menjerit dan mempelawa mereka tinggal bersama.

“Kami sekeluarga langsung tidak menyangka banjir kali ini teruk kerana kebiasaan hanya kedai di bandar dinaiki air separas buku lali untuk dua atau tiga hari, tetapi kali ini rumah turut digenangi air sehingga 10 hari.

“Keluarga tidak membuat persiapan membeli stok makanan dan minuman serta saya sendiri hanya tiba di Kota Bharu sehari sebelum kejadian banjir. Bukan hanya air naik setinggi paras bahu, malah arus deras berbahaya untuk keluar rumah apa lagi keadaan ibu bapa yang sudah berusia 70-an dan 60-an,” katanya.

Menurutnya, roti, biskut, sardin, mi segera termasuk telur yang dibawa jiran antara juadah berharga yang dimakan berkongsi sedikit-sedikit bagi bertenaga untuk meneruskan kehidupan sambil berharap air surut segera.

“Tiga hari pertama kami hanya makan roti dan biskut kerana tiada dapur untuk memasak, tetapi pada hari keempat dalam keadaan gelap bapa nekad turun ke dapur untuk mengambil peralatan memasak.

“Nasib baik selepas dikeringkan dapur boleh digunakan. Kami berkongsi makan mi segera bagi mengalas perut dan itu saja juadah yang dapat disaji untuk tetamu dalam keadaan banjir yang tidak pasti bila surut.

“Ketika itu apa yang kami risau adalah bekalan air bersih dan bernasib baik dapat berkongsi dengan jiran. Kami ke tandas menggunakan air banjir yang diceduk menggunakan baldi yang dipasang tali.

“Selalunya saya hanya lihat dalam drama orang angkut barang guna tali, tetapi itulah kaedah yang kami guna dengan jiran rumah sebelah untuk bertukar-tukar barang,” katanya.

Ketika menunggu air surut katanya, timbul juga perasaan geram tiada bantuan yang tiba walaupun di udara kedengaran bunyi helikopter.

Menurutnya, maklumat hanya diperolehi daripada radio milik bapa yang sudah lama tidak digunakan dan berfungsi dengan kuasa bateri yang menjadi hiburan mereka.

“Setiap kali dengar helikopter anak jiran yang tinggal bersama guna pelbagai cara bagi menarik perhatian, tetapi kecewa, namun kami tak putus semangat bagi mencari bantuan,” katanya.

Menurutnya, walaupun berlainan agama apabila jiran yang tinggal bersama minta kebenaran untuk bersolat tiada halangan untuk meneruskan ibadat di dalam rumah keluarga.

Beliau yang bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur berkata, pada hari keenam wakil syarikat yang mendapat maklumat daripada ibu pejabat beliau terkepung bersama keluarga menghantar bantuan selepas meredah air banjir dan arus deras lebih 10 kilometer.

Katanya, beliau turun berat badan hampir lima kilogram sepanjang sepuluh hari terkurung selepas kawasan kediaman terkepung banjir. Manakala jirannya yang tinggal bersama selepas air surut difahamkan tidak balik ke rumah sebaliknya tinggal di rumah ahli keluarga di tempat lain.

Disiarkan pada: January 10, 2015 @ 5:52am
d