mutakhir

Fenomena banjir biasa selepas hujan lebat

Kota Bharu: Banjir yang berlaku di tiga kampung di Chenulang, Kuala Krai, kelmarin, apabila air sungai berhampiran melimpah dan memasuki kawasan kediaman penduduk adalah fenomena banjir biasa selepas dua hari hujan lebat.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, tiada tanda akan berlakunya banjir besar dalam masa terdekat dan kejadian di Chenulang adalah keadaan biasa apabila hujan berterusan.

“Kita memantau paras sungai dan mengakui berlaku kenaikan Sungai Kelantan di Kuala Krai yang kini berada pada paras berjaga-jaga.

“Memang amaran sudah dikeluarkan bahawa apabila hujan berterusan, kawasan rendah akan dinaiki air, tetapi sehingga kini tiada limpahan Sungai Kelantan atau sungai utama yang lain.

“Apa berlaku di Chenulang dan mungkin di kawasan lain yang rendah termasuk di kampung di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang adalah perkara biasa apabila hujan berterusan.

“Pemantauan dilakukan hari ini (semalam) pula mendapati air sudah surut dan penduduk boleh kembali ke rumah mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, 300 penduduk Kampung Kebun Pisang, Kampung Jering dan Kampung Pasir Jering bimbang tragedi bah besar pada 23 Disember lalu bakal berulang apabila air sungai terdekat melimpah memasuki kediaman.

Menurut Kamal, penduduk dinasihati supaya tidak panik dan sentiasa peka dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: January 10, 2015 @ 5:55am
d