mutakhir

Lumpuh rokok seludup

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memperhebatkan operasi melumpuhkan kegiatan rokok seludup menerusi Op Outlet pada permulaan tahun baru 2015 apabila menyerbu premis penjualan barang larangan itu di ibu negara, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka sejak 7 Januari lalu hingga semalam.

Di ibu kota, seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan Penguat Kuasa JKDM yang menyerbu premisnya di Jalan Rahmat off Jalan Sultan Azlan Shah sebelum menemui beberapa karton rokok seludup jenama John, Gudang Garam, Canyon, Luffman dan Nusantara.

Di Seremban, JKDM merampas 356 kotak rokok seludup berjenama John, Gudang Garam, dan Canyon dalam serbuan dilakukan di sebuah pasar mini di Jalan Kerapu di Taman Permai.

Dalam serbuan berkenaan, pihak penguat kuasa turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang ketika itu menjaga premis terbabit.

Di Melaka, seorang pekedai runcit ditahan apabila pegawai penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan lanjut di premisnya di Pantai Belimbing, Durian Tunggal menemui 42 kotak rokok seludup pelbagai jenama termasuk John.

Sementara itu, seramai tujuh orang dihadapkan ke mahkamah sepanjang Disember lalu atas dakwaan terbabit dalam penjualan rokok seludup.

Antaranya, Mahkamah Majistret Kuantan pada 5 Disember lalu menjatuhkan hukuman penjara 35 hari terhadap seorang penjaja jalanan berusia 41 tahun selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan menjual 92 kotak rokok seludup.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, kerjasama semua pihak diperlukan untuk memerangi aktiviti penjualan rokok seludup daripada berleluasa.

“Selain menyalahi undang-undang, rokok seludup mempunyai risiko dua kali ganda lebih bahaya dengan kandungan bahan kimia beracun seperti arsenik, kadmium, tar dan nikotin lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Penyelidikan agensi Nielsen dalam Kajian Rokok Seludup (ICS) untuk tempoh Jun hingga Ogos tahun lalu menunjukkan penurunan terbesar dalam tempoh dua dekad iaitu 32.3 peratus berbanding rekod tertinggi 38.9 peratus pada akhir 2013.

Berbanding keputusan kajian terdahulu, dapatan itu menunjukkan penggunaan rokok haram di negara ini sedang dalam trend menurun iaitu 3.5 mata peratusan daripada 35.8 peratus.

Disiarkan pada: January 10, 2015 @ 7:09am
d