mutakhir

Identiti masih misteri

Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Identiti pemilik motosikal yang terbakar selepas dilanggar kereta BMW X6 dalam kejadian di Kilometer 10, Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Kulai, dekat sini, semalam kini masih misteri.

Kewujudan motosikal berkenaan juga hanya disedari selepas tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Sahibon memadam kebakaran kenderaan terbabit.

“Pada mulanya pihak kami hanya menerima laporan mengenai kebakaran kereta di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 1.55 pagi.

“Kami yang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian memadam kebakaran BMW X6 itu.

“Selepas kebakaran dipadamkan, kami ternampak serpihan besi di depan kenderaan terbabit dan pada mulanya disangkakan sebahagian komponen kereta itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya terkejut apabila mendapati ia sebenarnya rangka motosikal.

Katanya, pihaknya membuat pemeriksaan di sekitar kenderaan berkenaan kerana bimbang penunggangnya terperangkap di bawah kenderaan mewah yang rentung itu.

“Saya dan anggota lain turut meninjau kawasan sekitar bagi mengesan penunggang motosikal terbabit tetapi tidak menemuinya.

“Kita percaya motosikal berkenaan ditinggalkan di tepi lebuh raya itu tetapi tidak dapat dipastikan sebab sebenar,” katanya.

Menurutnya, pemandu BMW X6 yang dikatakan dalam perjalanan dari Senai ke Ulu Tiram itu tidak cedera kerana sempat keluar dari kenderaannya sebelum api mula merebak.

Sementara itu, sebuah lori kontena hangus di bahagian kepala lorinya selepas kenderaan itu tiba-tiba terbakar dalam kejadian di KM109, Lebuhraya PLUS arah utara di Yong Peng, dekat sini, jam 7 pagi semalam.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng diketuai Pegawai Bomba Aziman Harun bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.37 pagi.

Setibanya di tempat kejadian jam 7.48 pagi didapati sebahagian besar kepala lori berkenaan hangus terbakar.

Anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengawal kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke bahagian kontena dibawanya sebelum berjaya memadamkannya.

Pemandu lori dan kelindannya berjaya menyelamatkan diri tanpa kecederaan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:07am
d