mutakhir

Tak jamin jumpa semua mayat

Jakarta: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia tidak dapat memberi jaminan sama ada keseluruhan mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 boleh ditemui pasukannya.

Memetik laporan Tempo.co, Ketua operasi BASARNAS Bambang Soelistyo berkata, kemungkinan itu diluahkan berikutan operasi mereka berdepan pelbagai kesukaran.

“Kita tidak dapat memberi jaminan BASARNAS dapat menemui keseluruhan mangsa korban pesawat yang masih berbaki 114 orang itu.

“Tidak ada sasaran (jumlah mangsa), tunggu penilaian kami dulu,” katanya ringkas.

Menurutnya, pasukannya kini berusaha mencari kotak hitam pesawat malang berkenaan dan mahu mayat mangsa ditemui seramai mungkin.

“Pasukan tetap mencari tetapi kami akan menilai secara efektif kerana operasi tidak dapat dilakukan sepanjang tahun. Kami berusaha semaksimum mungkin,” katanya.

Selain penumpang, BASARNAS dengan gabungan pasukan siasatan lain juga sedang berusaha mencari bahagian terbesar bangkai pesawat model Airbus A320-200 itu.

“Kami tetap yakin masih ada mayat mangsa di dalam bangkai pesawat itu. Selain serpihan pesawat AirAsia yang masih berselerak di dasar laut, kita tidak dapat memastikan sama ada pasukan SAR akan mengangkatnya ke permukaan.

“Serpihan pesawat itu bergantung kepada permintaan pasukan siasatan atau pihak AirAsia sendiri,” katanya.

Menurutnya, penemuan kotak hitam sudah mencukupi, terserah kepada pihak AirAsia sama ada mahu mengangkat bangkai itu atau tidak.

“Kepentingan kita sekarang adalah mahu mencari mangsa seramai mungkin,” katanya.

Setakat semalam, 48 mayat sudah ditemui dan 27 daripadanya sudah dikenal pasti identiti melalui Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di Hospital Bhayangkara, Surabaya.

Untuk imbasan, pada 1 Januari 2007 pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dari Surabaya ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai terhempas di Selat Majene, Sulawesi.

Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan 102 mayat berkenaan tidak ditemui.

Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui.

Selepas sembilan bulan analisis dibuat Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat, ia merumuskan juruterbang mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS).

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:11am
d