mutakhir

Selepas 13 hari...

Pangkalan Bun: Bahagian ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang tenggelam di dasar laut Selat Karimata sejak 13 hari lalu akhirnya berjaya diapungkan tepat jam 11.48 waktu barat Indonesia semalam.

Bagaimanapun kedua-dua kotak hitam iaitu Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Penerbangan (FDR) tidak berada di bahagian ekor pesawat itu sekaligus menyukarkan usaha mengenal pasti misteri punca nahas.

Tempo.co melaporkan, Ketua Jabatan Penerangan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) Laksamana Pertama Manahan Simorangkir mengesahkan pasukan penyelam dan anak kapal KRI Banda Acheh berjaya mengapungkan ekor pesawat itu.

“Sejak awal pagi tadi (semalam), kita sudah menghantar dua penyelam untuk mengikat tali pada ekor pesawat terbabit. Usaha itu dilaksanakan pada jam 6.01 pagi WIB.

“Pada jam 10.12 pagi WIB, pasukan penyelamat sudah mengisi udara dalam beg apungan terbabit. Kita sedang giat berusaha mengangkat ekor pesawat berkenaan untuk diletakkan di dalam Kapal Crest Onyx,” katanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa kedua-dua kotak hitam CVR dan FDR tidak ditemui pada ekor pesawat itu kerana dipercayai terpelanting keluar sebaik terhempas.

Sementara itu, Pengarah Operasi BASARNAS Bambang Supriyadi berkata, bilangan penyelam dan beg pengangkut ditambah bagi misi mengangkat ekor pesawat berkenaan.

“Empat beg pengangkut dan tujuh penyelam dihantar ke Pelabuhan Kumai. mereka akan mendekati kapal KRI Banda Aceh manakala tiga penyelam dihantar dengan helikopter dan membawa satu beg kecil," katanya.

“Penyelam BASARNAS kini sudah bersedia di beberapa kapal milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk terjun ke dasar sebelum kehadiran penyelam tambahan,” katanya.

Menurutnya, penyelam akan terjun ke beberapa titik lokasi yang mengesan beberapa objek dan bahagian milik pesawat QZ8501 di dasar laut.

Sementara itu, Ketua Stesen Meteorologi Pangkalan Bun Lukman Soleh berkata, cuaca yang baik semalam membolehkan pasukan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) melaksanakan misi mengangkat ekor pesawat itu.

"Malah, mereka (BASARNAS) dapat bergerak di seluruh sektor pencarian," katanya.

Menurutnya, radar milik Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik menjangka cuaca baik hanya bertahan pada waktu siang sahaja.

“Ketinggian ombak dijangka mencapai tiga meter di sektor barat dan lebih tinggi lagi di sektor barat,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:11am
d