mutakhir

KOPERAT bina 941 rumah bebas banjir

Chukai: Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (KOPERAT), anak syarikat milik kerajaan Terengganu akan membina 941 unit rumah berkembar setingkat di Kampung Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Bukit Kuang, di sini.

Pengerusinya Muhammad Pehimi Yusof berkata, projek perumahan rakyat dinamakan Taman Rakyat Bestari Kemaman itu bebas banjir akan dimulakan awal tahun ini atau paling lewat pada Jun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri berkata, projek itu dibangunkan melalui tiga fasa iaitu Fasa 2C, Fasa 2D dan Fasa 3B dengan harga rumah sekitar RM180,000 seunit.

“Selain mampu milik, perumahan ini bebas banjir dan dijamin siap pembinaan mengikut jadual serta dilengkapi pelbagai kemudahan. Penempatan ini hanya enam kilometer saja dari bandar Chukai.

“Menyedari pembangunan industri semakin meningkat di Kemaman, permintaan terhadap rumah juga semakin meningkat.

“Justeru kerajaan negeri melalui KOPERAT tampil membina rumah dengan harga yang amat berpatutan,” katanya ketika melancarkan pembinaan rumah Taman Rakyat Bistari Kemaman yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah KOPERAT Mohd Zamzaini Zulkeffi.

Menurutnya, KOPERAT juga akan membina rumah rakyat di daerah lain mengikut keperluan dan permintaan rakyat negeri Terengganu dari semasa ke semasa bagi menjamin rakyat memiliki rumah sendiri.

Borang permohonan untuk memiliki rumah di Taman Rakyat Bistari boleh didapati di pejabat KOPERAT di Wisma GPQ, Tingkat 1 & 2 Desa MPKT, Chendering, Kuala Terengganu atau menerusi laman web www.koperat.com.my.

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:16am
d