mutakhir

Sengsara berganda

Tanah Merah: “Setiap kali menjelang pembukaan persekolahan, suami selalu termenung memikirkan persiapan dua anak kami melapor diri, memandangkan kami tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Namun tahun ini, kesengsaraan kami lebih berganda apabila mesin membuat bertih jagung yang saya gunakan untuk berniaga kecil-kecilan musnah akibat banjir,” luah Nur Aklima Husain.

Nur Aklima, 36, dari Kampung Bukit Merah, Belimbing, di sini, adalah seorang daripada puluhan ribu mangsa banjir di Kelantan yang hilang punca pendapatan disebabkan banjir beberapa minggu lalu.

Lebih perit apabila wanita itu yang menjadi ketua keluarga selepas suaminya Mohd Zuri Abdul Shatar@Abd Satar, 34, lumpuh seluruh badan sejak 2004, hilang punca pendapatan disebabkan mesin bertih jagung jualannya rosak.

Keadaan itu menyebabkan empat beranak terbabit dalam keadaan tertekan dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Mohd Zuri berjumlah RM300.

“Selalunya setiap kali nak masuk sekolah, suami akan termenung kenang nasib kami, tetapi ketika itu saya masih lagi boleh bantu dengan pendapatan jualan sekitar RM800 sebulan.

“Tetapi tahun ini memang agak perit bagi kami. Mesin buat bertih jagung sudah rosak bermakna kami sekeluarga hilang punca pendapatan sedangkan Mohd Akmal Zakwan yang berusia 12 tahun dan Nur Amalina yang baru hendak mendaftar tahun satu perlukan kelengkapan sekolah.

“Sebelum banjir lalu, pada November, saya sudah belikan mereka sepasang baju sekolah baru namun, belum pun dipakai baju sudah hanyut dan kami tak sempat nak selamatkan,” katanya.

Nur Aklima berkata, dia menyedari perubahan kedua-dua anaknya yang kecewa apabila mendapati kelengkapan persekolahan mereka sudah tiada, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Katanya, dia sukar mengagak masa depan mereka sekeluarga memandangkan kini rumah rosak akibat banjir dan permohonan mendapatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibuat tiga tahun lalu masih belum ada sebarang jawapan.

Nur Aklima sekeluarga ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan sumbangan Tok Aman Bali Beach Resort (TADBR), Pasir Puteh diketuai Pengurus Besarnya Hizam Shah Omar di Kampung Bukit Gading, Bukit Panau, di sini, kelmarin.

Selain Mohd Akmal Zakwan dan Nur Amalina, 193 murid lain dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ganding dan SK Bendang Nyiur turut menerima bantuan serupa.

Sementara itu, Hizam Shah berkata, pihaknya terpanggil menghulurkan bantuan itu selepas mengetahui ramai lagi murid miskin yang menjadi mangsa banjir tidak mempunyai pakaian seragam sekolah dan kelengkapan lain.

Katanya, berikutan itu, TADBR menubuhkan tabung khas bagi membantu kanak-kanak berkenaan dan berjaya mengutip RM7,000 dalam tempoh seminggu.

“Kami tidak mahu melihat kanak-kanak ini tercicir dalam pembelajaran mereka jika tidak dibantu dengan kadar segera. Justeru kami segerakan program amal begini dan akan teruskan di masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:17am
d