mutakhir

'Biar polis siasat'

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkaitan pegawai khasnya Mohamad Iruan Zulkefli.

“Saya difahamkan ada laporan polis berkaitan kes ini. Saya serah kepada polis untuk siasat.

“Jika ada apa-apa yang perlu dijawab, saya yakin saudara Mohamad Iruan akan beri keterangan kepada polis. Saya harap beliau beri kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kes Mohamad Iruan yang didakwa terbabit dalam pertikaian dengan pemimpin sayap Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Perak Saad Abdul Rahman, kelmarin.

Ditanya jika kes terbabit hanya salah faham, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak pasti berkaitan perkara itu.

“Sehingga hari ini (semalam), saya masih tidak sempat berbincang dengan Mohamad Iruan, saya hanya tengok laporan (berkaitan kejadian) melalui WhatsApp,” katanya.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah dewan di Kampung Kelantan, Lenggong, Perak kelmarin dan ia sudah dilaporkan kepada polis.

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:17am
d