mutakhir

Jangan susahkan jemaah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Perlu lebih bertanggungjawab dan jangan susahkan jemaah. Itu nasihat Persatuan Agensi Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) kepada agensi umrah yang menyebabkan 106 jemaah terkandas di Arab Saudi seperti laporan akhbar ini semalam.

Presidennya Datuk Syed Mohd Razif berkata, pada masa sama, pengelola berkenaan perlu bersikap jujur kepada jemaah dengan menerangkan sepenuhnya apa yang akan berlaku sepanjang mengerjakan umrah termasuk perkara teknikal seperti penerbangan dan hotel.

Katanya, apa yang berlaku kepada jemaah itu ketika ini adalah disebabkan kegagalan agensi memberi maklumat tepat yang akhirnya menyusahkan jemaah yang terkandas dan tidak dapat pulang kerana tiada penerbangan dan perlu mendapatkan tiket baru.

“Saya difahamkan kebiasaannya ada ejen menyediakan pakej menggunakan pesawat khas. Ini bermakna jadual boleh jadi berubah, tidak seperti penerbangan berjadual.

“Jadi, bila perkara seperti ini tidak diberitahu kepada jemaah, ia akan timbul masalah apabila mereka perlu mendapatkan tiket baru dan ini menyusahkan jemaah kerana perlu mengeluarkan wang. Sudahnya mereka terkandas dan tak boleh pulang ke tanah air,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai nasib 106 jemaah yang tidak dapat pulang ke Malaysia selepas agensi umrah terbabit meminta wang tambahan untuk pembiayaan hotel dan penerbangan walaupun ia sudah dijelaskan berjumlah RM3,800.

Akibatnya, mereka kini merayu kerajaan Malaysia supaya membawa mereka pulang kerana sudah beberapa hari berada di Arab Saudi selain memaksa mereka mengadakan demonstrasi di hadapan sebuah hotel selepas ejen terbabit menghilangkan diri.

Syed Mohd berkata, agensi berkenaan mungkin tiada niat untuk menipu, namun kegagalan mereka mengambil kira kemungkinan lain seperti penerbangan mengakibatkan terjadinya perkara seperti itu.

Disiarkan pada: January 11, 2015 @ 5:17am
d