mutakhir

Silat perlu ketengah sahsiah tinggi

Kuala Lumpur: Meraikan kegemilangannya sebagai antara pertubuhan seni bela diri Melayu yang sentiasa berkembang sejak 1965, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) merasmikan pelancaran Jubli Emas di Menara Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Disempurnakan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim, pelancaran itu turut dihadiri Guru Utama merangkap Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah dan Pengasas dan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia merangkap Pendekar Negara Datuk Omardin Mauju.

Menurut Rais, persatuan silat kini perlu menekankan aspek kesantunan dan ketinggian budi pekerti yang cukup penting berikutan ia berkait rapat dengan budaya masyarakat Melayu.

“Orang Melayu perlu hayati Perkara 160 dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan definisi dan hak Melayu. Jika ia diberi perhatian sewajarnya, tidak mustahil budaya Melayu akan kembali disanjung tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian beliau.

Sementara itu, Maideen berkata, pihaknya sudah menghasilkan terbitan berkaitan silat menggunakan peruntukan RM500,000 yang disumbangkan Rais melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dua tahun lalu.

“Pada majlis Himpunan Siap-Siaga anjuran PSSCM bertarikh 24 Januari 2013, Tan Sri (Rais) hadir dan memberi sumbangan ini untuk persatuan terbitkan buku atau bahan ilmiah berkaitan seni silat.

“Maka malam ini (Jumaat), hampir 20 penyelidik hadir dan membawa bersama kertas kerja mereka yang khusus dalam seni silat cekak di Malaysia,” katanya.

Antara yang turut hadir termasuk Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail, Pengurus Besar Telekom Malaysia Berhad Datuk Othman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Pelancaran Jubli Emas yang turut menyaksikan logo rasmi perayaan itu menandakan bermulanya pelbagai acara sambutan yang sudah diatur untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Disember 2016.

Kini, PSSCM diterima di hampir semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta sebagai salah satu mata pelajaran kokurikulum berunit yang secara tidak langsung membuktikan pentadbir universiti memperakui kualiti PSSCM.

Disiarkan pada: January 12, 2015 @ 7:27am
d