mutakhir

Tiga ajal subuh

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Tiga penjenayah warga asing yang dipercayai terbabit dengan 17 kes samun di beberapa daerah di negeri itu ditembak mati polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, di Jalan Lasah, Sungai Siput, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta Perodua Myvi itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rasah, Sungai Siput, dipercayai sedang dalam perjalanan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, kumpulan penjenayah itu yang dipercayai aktif sejak Julai tahun lalu dikesan oleh sekumpulan anggota D9 IPK ketika melakukan rondaan di kawasan itu cuba menahan suspek.

Katanya, ketiga-tiga suspek tidak menghiraukan arahan diberikan polis supaya memberhentikan kenderaan, menghimpit kenderaan polis sebelum melarikan diri dengan melepaskan beberapa das tembakan.

“Polis kemudiannya bertindak membalas tembakan sebelum mengejar kenderaan suspek hingga mengakibatkan ia terbabas sebelum penjenayah terbabit sekali lagi berbalas tembakan dengan polis.

“Bagaimanapun, polis berjaya menumpaskan ketiga-tiga suspek berkenaan dengan menembak mati semua mereka yang dipercayai warga asing berusia 30 hingga 40 tahun,” katanya pada dalam sidang media di IPK semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 12, 2015 @ 7:41am
d