mutakhir

'Tak tahu nak buat apa'

Pekan: “Saya buntu melihat keadaan rumah. Langsung tak tahu nak buat apa,” kata Kamariah Mat Salleh, 53, penduduk Kampung Semangat, Jalan Kuantan-Pekan, di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka air sedalam 0.6 meter (m) masih bertakung di kawasan rumahnya ketika pulang menjenguk kediamannya, semalam, selepas hampir dua minggu tinggal di pusat pemindahan.

Kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan itu berkata, lebih memilukan apabila melihat telaga yang menjadi sumber bekalan air masih dipenuhi lumpur manakala janakuasa elektrik pula rosak kerana ditenggelami air.

“Rumah saya terletak jauh di kawasan agak terpencil kira-kira satu kilometer (km) dari jalan besar. Sebelum ini, kami hanya bergantung kepada telaga dan janakuasa itu untuk mendapatkan sumber bekalan elektrik dan air.

“Hendak tak hendak, saya terpaksa kembali ke pusat pemindahan di Dewan Melati Penjara Penor, petang ini (semalam). Tak tahu nak fikir macam mana hendak bersihkan rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kamariah antara penduduk di Kampung Semangat yang berpindah tiga kali ke pusat pemindahan apabila kawasan kampung itu dilanda banjir.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 12, 2015 @ 8:05am
d