mutakhir

Maklumat palsu agihan BR1M

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kewangan menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar kandungan ‘whatsapp’ tertera tarikh lebih awal agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedangkan agihan sebenar bantuan ialah pada Khamis (esok).

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya menegaskan bahawa maklumat itu adalah palsu, malah, beliau sudah memeriksa perkara itu dengan Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, penyebaran kandungan maklumat palsu bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat sebaliknya mewujudkan suasana panik kerana individu yang layak menerima bantuan akan keluar ke bank bagi memeriksa akaun bank masing-masing.

Kelmarin, satu kandungan mesej ‘whatsapp’ palsu tersebar kononnya menggunakan nama Perdana Menteri yang memaklumkan BR1M sudah diagihkan ke akaun penerima masing-masing pada Ahad menerusi Bank Rakyat, Bank Islam dan Bank Mualamat (Isnin) dan bank lain semalam.

Ahmad berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir bagi agihan bantuan berkenaan dan agihan wang ke institusi perbankan dijangka selesai hari ini (Rabu) sebelum penerima yang layak boleh memeriksa akaun masing-masing pada esok.

Menurutnya, BR1M akan diagihkan mulai esok bagi penerima yang sudah mengemas kini maklumat sebelum akhir tahun lalu.

“Sementara bagi yang belum berbuat demikian, mereka perlu mengemas kini maklumat terlebih dahulu sebelum bantuan dapat diagihkan pada 12 Febuari ini.

“Kami memberi tempoh sehingga 31 Januari ini bagi mengemaskini maklumat BR1M berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri,” katanya.

Katanya, seramai 7.9 juta penerima akan menerima BR1M pada tahun ini dan akan diagihkan secara berperingkat.

Ahmad berkata, tahun ini, kerajaan memperkenalkan Skim Khairat Kematian menggantikan insurans takaful berkelompok (i-BR1M) yang diperkenalkan tahun lalu.

“Bagi mendapat manfaat menerusi skim berkenaan, waris penerima BR1M boleh datang ke Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 2 Februari ini dengan membawa dua dokumen iaitu kad pengenalan asli milik waris serta sijil kematian penerima BR1M.

“Mereka akan menerima khairat kematian sebanyak RM1,000 selain baki wang BR1M yang belum disalurkan kepada si mati,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2015 @ 7:58am
d