mutakhir

Mangsa langgar lari beriya-iya mahu pergi asrama

Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki yang sepatutnya mula bekerja di kilang selepas menamatkan kursus di Institut Automotif Malaysia (MAI) maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 446.4 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Rawang, semalam.

Dalam kemalangan jam 2 pagi berhampiran susur keluar Rawang Selatan, Muhammad Fikri Abdullah, 18, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Menurut rakannya Muhd Zulkhan Mohd Yunus, 18, mereka bersama seorang lagi rakan Rohaime Rohizam, 18, dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 24, Shah Alam selepas mengambil baki barang peribadi yang ditinggalkan di asrama MAI di Rawang.

“Kami baru selesai menjalani kursus automotif selama 35 hari di MAI dan hari ini (semalam) kami pergi semula ke asrama pekerja untuk mengambil barang yang masih tertinggal di sana.

“Arwah beriya-iya mengajak kami ke asrama, namun apabila sampai di sana, dia enggan mengambil barang peribadi miliknya yang ditinggalkan sebaliknya menyuruh kami menyimpannya,” katanya.

Katanya, sikap rakan baik yang dikenali sejak kecil itu menimbulkan tanda tanya, tetapi mereka tidak bertanya sebaliknya setuju mengambil barang berkenaan.

“Kami sudah mendapat pekerjaan di kilang di Shah Alam, arwah diminta melapor diri Jumaat ini, manakala kami berdua mula bekerja esok (hari ini),” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Muhd Zulkhan berkata, dia berada 100 meter di hadapan Mohd Fikri diikuti Rohaime yang menunggang di belakang.

“Sebaik tiba di situ, saya dihimpit lori sehingga terbabas dan saya lihat lori itu dipandu laju. Saya berhenti dan rasa tidak sedap hati kerana dua rakan saya masih belum kelihatan.

“Selepas berpatah balik, saya terkejut melihat Muhammad Fikri terbaring berlumuran darah,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dirempuh lori dari arah belakang sebelum terseret beberapa meter dari lokasi.

Jurucakap polis berkata, pihaknya masih mengesan pemandu dan kenderaan berkenaan serta meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Sementara itu dalam kejadian yang turut membabitkan kemalangan berasingan di Kilometer 416.8 Lebuhraya Utara Selatan, seorang jururawat maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora miliknya merempuh treler, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa Fazilah Mohd Isa Arashid, 46, maut kerana tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan kecemasan lalu merempuh belakang treler yang baru selesai menukar tayar.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk bedah siasat dan kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 14, 2015 @ 8:03am
d