mutakhir

Bajet 2015 dirombak

Oleh Hairulazim Mahmud dan Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak tidak menolak kemungkinan Bajet 2015 yang dibentangkan pada 10 Oktober lalu akan dirombak.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, kenyataan mengenai penstrukturan semula itu dimaklumkan minggu depan.

“Saya akan keluarkan kenyataan minggu depan,” kata beliau pada sidang media selepas menerima bantuan bencana banjir daripada kerajaan China di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru di Jalan Padang Tembak di sini, semalam.

Najib berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau akan menstruktur semula berikutan beberapa keperluan penting di luar jangkaan termasuk banjir melanda negeri di pantai timur dan kejatuhan mendadak harga minyak dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, lebih RM900 juta diperlukan untuk bantuan banjir di negeri yang terjejas teruk.

Bajet 2015 memperuntukkan RM273.9 bilion dengan kenaikan peruntukan RM9.8 bilion berbanding 2014.

Daripada jumlah berkenaan, RM50.5 bilion untuk pembangunan manakala RM223 bilion lagi adalah belanja mengurus.

Belanjawan berkenaan memfokuskan kepada usaha membantu meringankan beban rakyat berdepan dengan cabaran kenaikan kos sara hidup seiring dengan usaha memajukan ekonomi negara.

Bertemakan Sebuah Bajet: Ekonomi Keperluan Rakyat yang pendekatannya menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

Disiarkan pada: January 14, 2015 @ 8:07am
d