mutakhir

Drebar, isteri didakwa aniaya budak

Johor Bahru: Seorang pemandu lori dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menganiaya adik bongsu wanita itu hingga mendatangkan kecederaan, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh Maxwell Mawat Undau, 29 dan Stepeny Lily, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Salina Omar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, suami isteri itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dengan cara menghantuk kepala mangsa ke dinding, membakar mulut dan pipi kiri dengan api rokok, pijak dan tendang kaki mangsa serta memukul dengan menggunakan tali pinggang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di rumah mereka di No 03-02, Blok C, Jalan Bunga Teratai 3, Taman Plentong Utama, Masai di sini, pada jam 9 malam, 5 Januari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum sepuluh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chan Lee Lee tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, bagaimanapun mencadangkan RM10,000 setiap seorang selepas mahkamah mahu membenarkan tertuduh diikat jamin.

Maxwell yang tidak diwakili peguam itu merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tidak mempunyai saudara-mara lain di negeri ini, manakala isterinya yang diwakili peguam Lydiana Mansor pula memohon jaminan rendah untuk anak guamnya kerana mempunyai seorang anak berusia empat tahun yang masih di bawah jagaan wanita terbabit.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan bapa Stepeny menjaminnya, manakala Maxwell gagal mengemukakan penjamin.

Disiarkan pada: January 14, 2015 @ 8:15am
d