mutakhir

Gantung sampai mati

Oleh Murni Wan Omar dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Putrajaya: Rantaian bukti jelas menunjukkan bahawa pada hari kejadian, anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar berada di Puncak Alam iaitu lokasi wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibunuh.

Keputusan sebulat suara panel lima hakim yang dibacakan oleh Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar merumuskan bahawa dengan mengesahkan bahawa Azilah dan Sirul Azhar berada bersama di dalam kereta yang berakhir di Puncak Alam itu menunjukkan mereka mempunyai ruang, waktu serta peluang untuk merancang pembunuhan mangsa.

Menurutnya, ini secara tidak langsung menepis dakwaan Azilah bahawa kali terakhir dia berjumpa dengan Altantuya adalah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kenyataan Sirul Azhar yang mengatakan berjumpa wanita itu di luar rumah penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Oleh itu, Mahkamah Persekutuan di sini, semalam, mensabitkan Azilah dan Sirul Azhar bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Panel itu diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan turut bersidang bersama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Terdahulu, Hakim Suriyadi dalam penghakiman setebal 88 muka surat itu berkata transaksi data panggilan melalui telefon milik Azilah menunjukkan bahawa ia bukan saja dibuat oleh lelaki itu, malah lokasi terakhir adalah di Puncak Alam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 14, 2015 @ 8:21am
d