mutakhir

551 mahu status hak milik tanah

Alor Setar: Seramai 551 penduduk Bandar Baru Beris Jaya, Sik yang terbabit dengan pemindahan bagi projek pembinaan Empangan Beris kira-kira 12 tahun lalu, berada dalam dilema berikutan masih belum mendapat status hak milik tanah pampasan di ladang getah Sungai Pau berkeluasan 385.7 hektar.

Setiausaha Jawatankuasa Kecil Agihan Hasil Ladang Mansor Adali Yaakob berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri menyelesaikan kemelut perpindahan berkenaan selepas penduduk berkorban demi melaksanakan pembinaan Empangan Beris pada 2000.

Menurutnya, mereka mewakili penduduk dari Kampung Sungai Batang, Kampung Kuala, Kampung Ternas, Kampung Batu Seketul dan Kuala Beris memohon supaya kerajaan negeri menyerahkan hak milik tanah ladang di Sungai Pau seperti dijanjikan.

“Kami akur hasrat kerajaan untuk memajukan negara dengan berpindah ke penempatan baru di Kampung Sungai Pau, tetapi mana janji mereka untuk memberikan pampasan satu lot ladang getah berkeluasan kira-kira 0.7 hektar setiap seorang penduduk.

“Selepas berpindah pada 2002 lalu hingga kini, tiada sebarang reaksi pemberian hak milik atau menunaikan janji kerajaan dan keadaan itu amat menggusarkan kerana kami bimbang hasil tahunan ladang getah dimanupulasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mansor berkata demikian ketika ditemui selepas bersama kira-kira 50 ahli Ladang Bandar Baru Beris Jaya, Sik menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Besar Kedah yang diwakili Setiausaha Akhbarnya Mohd Fisol Jaafar di Bangunan Wisma Darulaman, di sini, semalam.

Mansor berkata, situasi berkenaan yang tertangguh sejak sekian lama menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk yang tidak mengetahui status sebenar kedudukan tanah itu.

Katanya, lebih membimbangkan apabila timbul masalah pemilikan tanah selepas berlaku kematian generasi pertama yang berpindah menyebabkan berlaku perselisihan faham dalam kalangan keluarga generasi kedua.

“Justeru, kami berharap Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat memberi jawapan untuk menyerahkan pemberian hak milik tanah ladang kepada penduduk seperti dijanjikan bagi memudahkan urusan pecahan lot.

“Selain itu, kami menolak Koperasi Pembangunan Beris Berhad mengurus pemberian dividen tahunan hasil ladang kerana memotong lebih 30 peratus hasil tanpa kebenaran ahli berikutan tiada garis panduan khusus mengenai cara pembahagian keuntungan hasil ladang,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak berwajib memandang serius masalah itu dan mencari jalan penyelesaian kerana bimbang berlarutan ke generasi akan datang.

Sementara itu, Mukhriz berkata, pihaknya sudah membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pada minggu lalu dan perincian sedang dilakukan untuk mengenal pasti penyelesaian terbaik.

Disiarkan pada: January 15, 2015 @ 7:49am
d