mutakhir

Lori terbabas elak 'lembaga hitam'

Kota Bharu: “Saya mahu mengelak ‘lembaga hitam’ seperti orang di tengah jalan, tapi sedar-sedar lori saya sudah memasuki kanan jalan sebelum terbabas,” kata pemandu lori Fakhrul Izani, 32.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 pagi semalam, lori muatan sayur-sayuran dipandu Fakhrul terbabas di Batu 11 Jalan Kuala Krai di sini sebelum terbalik di halaman rumah seorang penduduk.

Akibatnya, Fakhrul cedera di lutut dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik berdekatan.

Fakhrul berkata, dia sudah biasa memandu sendirian dari Selayang, Selangor untuk menghantar bekalan sayur-sayuran ke Pasar Wakaf Che Yeh, di sini.

“Ketika melalui jalan itu saya nampak seperti lembaga hitam di tengah jalan. Saya brek mengejut tetapi lori terbabas dan terbalik ke kanan jalan.

“Syukur saya tidak apa-apa dan hanya sakit lutut saja,” katanya yang sudah biasa melalui jalan itu dan menghantar bekalan dalam tempoh dua kali seminggu.

Sementara itu, seorang penduduk, Azizah Mahmud, 73, menyedari kejadian itu sebaik terdengar dentuman kuat ketika sedang nyenyak tidur.

Katanya, dia sekeluarga yang terkejut dengan bunyi itu segera keluar dan terkejut melihat lori membawa muatan sayur terbalik di tepi jalan berhampiran rumahnya.

“Nasib baik, empat kereta yang di letakkan di halaman rumah tidak mengalami sebarang kerosakan,” katanya di sini, semalam.

Azizah berkata, ini adalah kejadian kedua membabitkan kenderaan berat yang terbabas berhampiran rumahnya dan kali pertama berlaku pada 1998 apabila sebuah trailer membawa muatan siling kapur terbabas dan merempuh tiang elektrik.

Disiarkan pada: January 16, 2015 @ 5:14am
d