mutakhir

Terima memorandum daripada 320 NGO Melayu

Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima Memorandum Perpaduan Nasional disampaikan oleh gabungan 320 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di kediaman rasmi Sri Satria, di sini, semalam.

Memorandum setebal 95 muka surat itu diserahkan Pengerusi Konvensyen Perpaduan Nasional Datuk Azih Muda dan disaksikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Penyerahan memorandum itu turut dihadiri 12 wakil pemimpin daripada NGO Melayu antaranya Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, Datuk Ruhanie Ahmad dan Datuk Zaini Hassan.

Azih berkata, memorandum berkenaan yang bertemakan Perpaduan Rakyat Malaysia Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara mengandungi 54 usul merangkumi pelbagai perkara seperti isu perundangan dan Perlembagaan Negara, sosioekonomi dan hal ehwal agama Islam.

“Hari ini (semalam) giliran kami menyerahkan memorandum ini kepada Timbalan Perdana Menteri dan ia adalah usul dipersetujui pada Konvensyen Perpaduan Nasional yang berlangsung pada 23 November lalu di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur.

“Pada 29 November lalu, kami sudah menyerahkan memorandum ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya pada sidang media sebelum penyerahan memorandum berkenaan.

Mengenai kandungan memorandum itu, Azih berkata, ia turut berkisar mengenai bagaimana mempertahankan negara, sosiopolitik, raja-raja termasuk Akta Hasutan dan agama.

“Kandungan memorandum ini tidak ‘racist’ (bersifat perkauman), malah ia tidak menuding jari kepada sesiapa,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2015 @ 5:16am
d