mutakhir

Reda dengan apa terjadi

Kuala Lumpur: “Ya, saya sudah failkan (permohonan perceraian) jam 1 tengah hari tadi,” kata pelakon dan penyanyi Diana Rafar mengesahkan tindakannya memfailkan perceraian terhadap aktor Zamarul Hisham di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini, tengah hari semalam.

Diana atau Adiana Abdul Rafar, 33, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran dan sebab tindakannya itu.

“Maaf, saya tidak mahu mengulas lanjut punca perpisahan kami buat masa ini. Saya reda dengan apa yang terjadi,” katanya secara ringkas.

Harian Metro pada 8 Januari lalu melaporkan rumah tangga Diana dan Zamarul Hisham Mohamed, 45, mengalami pergolakan kebelakangan ini.

Sumber memberitahu ia dipercayai berlaku disebabkan kewujudan orang ketiga. Difahamkan, konflik perkahwinan mereka dikatakan berpunca daripada penyanyi lelaki era 90-an, Oja atau nama sebenarnya Daninas Huza Daud, 36.

Sumber mendakwa, hubungan rapat Diana dan Oja yang terbabit dalam beberapa projek penerbitan lagu baru wanita itu dikatakan menjadi punca permasalahan terbabit.

Dakwaan yang disampaikan sumber terdekat keluarga penyanyi lelaki itu berkata Zamarul berang dan mengamuk apabila mendapat tahu mengenai ‘hubungan’ yang mencurigakan antara isterinya dengan Oja.

Namun, Zamarul dalam kenyataannya menyangkal dakwaan itu dan mengesahkan perkahwinan mereka berada dalam keadaan baik.

Zamarul dan Diana diijabkabulkan pada 16 Mei 2009 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dekat sini selepas lapan tahun bercinta.

Disiarkan pada: January 16, 2015 @ 5:17am
d