mutakhir

'Rehat' 6 bulan pertama

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan produk terkini Bank Rakyat untuk mangsa banjir iaitu Pembiayaan Peribadi-i dengan pinjaman maksimum RM50,000.

Beliau berkata, kadar keuntungan produk itu bermula daripada serendah 3.9 peratus dengan tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun.

“Apa yang buat saya tertarik ialah mangsa banjir dapat rehat daripada bayaran untuk enam bulan pertama.

“Pembiayaan Peribadi-i ini akan membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor serta terbuka kepada penjawat awam, swasta dan pesara,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, semalam.

Bank Rakyat turut mengumumkan pemberian dana zakat RM1 juta untuk bantuan kepada mangsa banjir.

Dalam pada itu, Najib berharap bukti atau dokumen pengesahan mangsa banjir daripada Majlis Keselamatan Negara atau laporan polis tidak sukar untuk diperoleh.

Beliau mahu proses itu dipermudahkan demi untuk membantu memulihkan kehidupan mangsa seperti biasa.

“Tempoh tawaran ialah selama sebulan bermula 19 Januari hingga 19 Februari,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Bank Rakyat berkembang dalam tempoh 60 tahun bermula sebagai koperasi kredit kepada bukan sekadar bank koperasi terbesar negara, malah sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia.

Malah, menurut beliau, lebih mengagumkan bank berkenaan mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat melebihi RM2 bilion sejak 2011 dan kini berada pada kelompok lima institusi kewangan terbaik dalam aspek keuntungan di Malaysia pada 2013.

Di peringkat global, berdasarkan penyenaraian majalah The Banker Top 1,000 World Bank 2014, Bank Rakyat adalah institusi kewangan keenam terbesar di Malaysia dan ke-273 di dunia selain menerima anugerah ‘Bank Islam Terbaik 2014’ daripada Global Islamic Finance Award (GIFA).

“Ini membuktikan keupayaan rakyat negara ini mencapai apa yang dikatakan pengiktirafan global sesuatu yang tidak mudah dicapai terutama dalam sektor perbankan,” katanya.

Justeru, Najib mahu bank tersebut merancang dan membantu supaya jurang hutang isi rumah tidak terlalu tinggi sehingga menyusahkan mereka selain memainkan peranan merancakkan ekonomi negara dari segi pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertambahan perkapita.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan jalan di hadapan bangunan berkembar berkenaan iaitu sebahagian Jalan Travers dinamakan sebagai Jalan Rakyat.

Disiarkan pada: January 16, 2015 @ 5:17am
d