mutakhir

Tidak sokong

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Malaysia dengan tegas menolak kegiatan provokasi mana-mana pihak termasuk majalah satira Charlie Hebdo ke atas agama lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, negara ini juga tidak akan membenarkan provokasi agama atau sebarang perbuatan mengancam atau menghina mana-mana agama dilakukan walaupun atas nama kebebasan bersuara.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan ke atas mereka yang cuba melakukan apa juga tindakan yang boleh menimbulkan konflik keagamaan.

“Kita sama sekali menegah serangan ke atas Charlie Hebdo tetapi kebebasan ada hadnya. Hormat-menghormati antara satu sama lain adalah prinsip asas yang perlu kita amalkan bagi menjamin keharmonian negara yang berterusan,” katanya dalam mesej siaran radio yang turut dimuat naik dalam laman web peribadinya, NajibRazak.com, semalam.

Beliau merujuk kejadian Rabu minggu lalu membabitkan serangan ke atas pejabat majalah itu di Paris yang mengorbankan 12 orang.

Majalah itu antara lain kerap menyiarkan kartun bersifat provokatif termasuk menghina Nabi Muhammad SAW yang dikecam umat Islam sedunia.

Kedegilan majalah itu berterusan, kelmarin apabila terus memaparkan karakter karikatur yang didakwa Rasululullah SAW di muka depan walaupun selepas diserang.

Najib berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di beberapa lokasi di dunia seperti di Paris dan Sydney, baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi mempertahankan negara daripada ancaman pengganas seperti kumpulan negara Islam (IS), pihak berkuasa sudah memulakan operasi mengesan dan menahan mereka yang terbabit dengan kumpulan itu.

Beliau berkata, Kertas Putih bagi menangani ancaman IS dibentangkan di Parlimen pada November lalu dan rang undang-undang antikeganasan baru pula akan dibentangkan pada Mac ini.

Disiarkan pada: January 17, 2015 @ 5:22am
d