mutakhir

Helah si penjual keropok

Oleh Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: Seorang lelaki yang menjual keropok sanggup menyamar sebagai pemandu teksi bagi mengaburi pegawai Jabatan Imigresen Selangor ketika serbuan Ops Kutip, kelmarin gara-gara bimbang ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan ke negara ini dengan bekerja.

Lelaki berusia 50-an itu yang berasal dari Pattani, Thailand, dipercayai terbabit dengan kumpulan penjual keropok di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan itu, dengan pantas dia pergi ke kawasan belakang restoran dan menyorokkan plastik berisi bungkusan keropok di belakang restoran di Seksyen 7, di sini.

Lelaki terbabit dilihat berjalan ke sebuah hentian teksi dan berdiri berhampiran teksi serta berlagak sebagai pemandu yang kononnya sedang menunggu penumpang.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu sudah diperhatikan sepasukan Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor yang mendapati dia meraih simpati dengan berjalan terhincut-hincut mendekati orang ramai dan menawarkan keropok.

Menurut lelaki itu, dia dihantar ke lokasi jualan oleh seorang lelaki menaiki pacuan empat roda jam 10 pagi dan akan diambil semula pada jam 10 malam untuk dihantar balik ke rumah sewa yang didiami bersama rakan yang lain.

“Saya dihantar ke sini oleh tauke untuk menjual keropok dan hanya diambil pada sebelah malam. Setiap hari saya perlu menjual keropok dengan harga RM10 sebungkus kepada orang ramai sekitar kawasan ini dan diberi sedikit upah,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 17, 2015 @ 5:24am
d