mutakhir

Masalah perumahan, bantuan sakit kronik dibincang KVKG

Kuala Lumpur: Masalah perumahan dan bantuan sakit kronik antara isu dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Kelab Veteran Kor Perkhidmatan Am Gaji (KVKG) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Dewan Nuri Anjung, Komuniti 1Malaysia, di sini, semalam.

Pengerusi KVKG Datuk Noor Effendy Mohamed berkata, masalah perumahan sering kali dialami ahli yang sudah bersara.

“Di sini, fungsi kami membantu menyuarakan serta membawa perkara berkenaan memandangkan kebanyakan ahli yang bersara akan terputus hubungan kerana pulang ke kampung dan sebagainya,” katanya.

Lebih 100 ahli menyertai mesyuarat agung buat kali kedua itu bertujuan merapatkan lagi hubungan sesama ahli selain perbincangan untuk menjaga kebajikan ahli.

Selain itu, Noor Effendy berkata, ada juga ahli yang menghidap sakit kronik dan kebanyakan mereka tidak tahu apakah bantuan serta kemudahan yang disediakan khusus oleh Persatuan Veteran ATM kepada kakitangan yang bersara.

“Kami bawa permasalahan mereka dan bantu mengimarahkan kebajikan ahli, sekali gus menjadi perantara hubungan ke bahagian pusat,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2015 @ 5:08am
d