mutakhir

3 bom diletupkan

Oleh Azma Razana Johari

Nibong Tebal: Tiga daripada empat bom buatan sendiri berjaya diletupkan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) selepas bahan letupan itu ditemui ditinggalkan di kawasan lorong antara stor simpanan alat sembahyang dan kediaman dihuni seorang wanita di Jalan Badak Mati di sini, 11 pagi semalam.

Sebelum kejadian, wanita berusia 50-an itu pergi memetik bunga di kawasan lorong di sebelah rumahnya dan berasa ada yang tidak kena selepas melihat kotak berbalut kertas pembalut hadiah dan beg kertas di situ.

Dia yang curiga membuka kotak berkenaan sebelum melihat wayar putih dan paku menyebabkan dia panik lalu melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pemeriksaan anggota UPB mengesahkan objek berkenaan ialah bom buatan sendiri.

“Bom pertama diletupkan pada jam 3.16 petang, diikuti bom kedua pada jam 3.32 petang, bom ketiga pada jam 3.41 petang dan yang keempat pada jam 4.18 petang.

“Satu daripada bom berkenaan yang tidak meletup (bom kedua), diserahkan kepada anggota UPB untuk pemeriksaan serta tindakan selanjutnya sekali gus membantu siasatan kes ini. Dua daripada bom berkenaan ditemui dalam kotak manakala dua lagi dibungkus dalam beg kertas.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 18, 2015 @ 5:09am
d