mutakhir

43,000 tan perlu dikutip

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Dianggarkan lebih 43,000 tan sampah masih perlu diselenggara di Kelantan selepas negeri berkenaan dilanda musibah banjir luar biasa baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) Mohd Zain Hassan berkata, sampah berkenaan perlu diselenggara dan dikutip segera bagi menghalang sebarang penularan penyakit.

Beliau berkata, pihaknya sendiri tidak terkecuali membantu meringankan beban pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan biarpun Alam Flora bukan di bawah bidang kuasa pengurusan sisa pepejal negeri itu.

“Setakat ini, kami sudah menyelenggara 15,000 tan sampah di Kelantan dan dijangka operasi pembersihan akan berlarutan selama sebulan.

“Kami melakukan kerja penyelenggaraan ini bersama pihak PBT di sana bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Malah, kami juga menggerakkan 120 jentera pengangkut sampah ke Kelantan dengan kekuatan 350 pekerja,” katanya ketika ditemui pada Program 3R Alam Flora bersama masyarakat di Pusat Komuniti Kitar Semula di Presint 9, di sini, semalam.

Ditanya mengenai operasi kutipan sampah pasca banjir di Pahang, Mohd Zain berkata, pihaknya juga sudah melaksanakan gerak kerja pembersihan di negeri terbabit dan sehingga kini sebanyak 9,000 tan sampah sudah diselenggarakan.

“Pengurusan sampah di Pahang adalah di bawah Alam Flora, jadi ini adalah tanggungjawab kami. Ketika ini, seramai 250 pekerja sedang menjalankan tugas masing-masing di sana,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai Program 3R Alam Flora, Mohd Zain berkata, program berkenaan bertujuan mendidik masyarakat membuang sampah ke tempat yang sepatutnya untuk dikitar semula khususnya kawasan operasi Alam Flora.

“Program ini satu usaha untuk merealisasikan sasaran kerajaan bagi mencapai 20 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2020.

“Kami juga mengambil inisiatif lain dengan menubuhkan skuad yang digelar ‘Eco Ranger’ berperanan mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan kitar semula,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2015 @ 5:21am
d