mutakhir

Epal Gala, Granny Smith disekat masuk

Bera: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyekat kemasukan bekalan epal jenama Gala dan Granny Smith yang dimport dari California, Amerika Syarikat kerana disyaki mengandungi bakteria listeriosis menyebabkan tiga kematian sehingga kini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima notis daripada Agensi Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), baru-baru ini, yang buah-buahan itu dijangkiti bakteria berkenaan.

“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan akan dipertanggungjawabkan memantau produk pertanian dari luar negara termasuk kumpulan terbaru epal Gala dan Granny Smith.

“Kementerian kita hanya boleh melaksanakan sekatan sahaja, aspek lain seperti pemantauan penjualan epal terbabit di pasaran terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan. Saya yakin kementerian terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Menyelenggara Motosikal Secara Percuma Untuk Mangsa Banjir di Kampung Guai, dekat sini, semalam.

Ismail berkata demikian ketika mengulas penyebaran maklumat di laman sosial bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat memanggil semula epal terbabit di pasaran selepas disyaki tercemar dengan bakteria listeriosis.

Difahamkan, tiga kematian dikatakan berpunca daripada individu memakan epal tercemar dengan bakteria itu dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada.

Disiarkan pada: January 18, 2015 @ 5:25am
d