mutakhir

Komited banteras aktiviti tak bermoral

Melaka: Kerajaan negeri memandang serius mengenai pendedahan laporan muka hadapan akhbar ini semalam, mengenai aktiviti maksiat dan pemujaan di Pulau Konet, Kampung Telok Gong, Alor Gajah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau Melaka Datuk Ghazale Mohamad berkata, kerajaan negeri sangat komited membanteras maksiat dan aktiviti tidak bermoral serta amalan khurafat di negeri ini.

“Kami tidak mahu imej Melaka sebagai negeri pelancongan terpalit dengan isu seperti itu khususnya di pulau.

“Satu siasatan segera dilakukan di kawasan pulau berkenaan dan satu perbincangan bersama semua jabatan bertanggungjawab terhadap pulau di Melaka termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan diadakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, perbincangan itu membabitkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Laut negeri dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Katanya, sebagai langkah jangka pendek bagi membanteras aktiviti maksiat dan tidak bermoral serta amalan khurafat di pulau berkenaan, beliau mengarahkan pihak berkuasa terbabit melakukan pemantauan di situ dari semasa ke semasa.

“Kami mahu semua pihak bertanggungjawab khususnya MPAG dan JAIM memandang serius isu ini dan menjalankan siasatan mengenai situasi sebenar di pulau berkenaan sebelum pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kami juga mencari penyelesaian lain selepas siasatan terperinci dilakukan termasuk memikirkan langkah bersesuaian bagi memastikan pulau berkenaan bebas aktiviti maksiat serta amalan khurafat termasuk pemasangan papan tanda dan rondaan berterusan,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan keindahan pulau kecil di Kampung Telok Gong, di sini, dicemari perbuatan segelintir muda-mudi bermadu asmara dengan menjadikan celahan batu, tebing bukit dan semak samun sebagai ‘port’ maksiat mereka.

Tambah menyedihkan, pelajar berusia 15 tahun dikatakan turut ‘menziarah’ kawasan pulau dikenali sebagai Pulau Konet yang berbatu dan berpokok itu bersama pasangan mereka semata-mata untuk ponteng sambil melampiaskan nafsu.

Pulau seluas 0.5 hektar berdekatan tanah besar dan boleh dilalui dengan berjalan kaki, malah menaiki motosikal atau berkereta jika air surut itu juga sejak beberapa tahun lalu turut disalahgunakan dengan pelbagai aktiviti bertentangan syariat Islam.

Disiarkan pada: January 19, 2015 @ 7:37am
d