mutakhir

2 beradik nyaris dilarikan lotong

Alor Gajah: Dua beradik berdepan detik mencemaskan apabila cuba dilarikan tiga ekor lotong ketika bermain di halaman rumah mereka di Kampung Hailam, Pengkalan Balak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua beradik terbabit, Norzainatul Zulaikha Mohd Azizan, 2, dan abangnya, Mohd Zaf Zakuan Mohd Azizan, 3, bermain sebelum muncul tiga ekor haiwan liar itu.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu mangsa, Siti Ain Sharfinaz Zainoldin, 24, berada dalam rumah bersama sepupunya, Norfadila Othman, 30, sebelum terdengar suara jirannya menjerit sebelum dia keluar dan mendapati dua anaknya itu menangis.

Siti Ain berkata, dia bersama dua anaknya ke rumah saudaranya itu pada petang kejadian, meluangkan masa untuk bersembang di ruang tamu dengan meninggalkan anaknya bermain di luar bersama rakan sebaya yang lain.

“Selepas beberapa minit, saya terdengar jeritan kuat dari luar rumah dan tangisan anak saya semakin kuat sebelum saya keluar melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila kelihatan tiga ekor lotong berlari sambil memanjat pokok mempelam di hadapan rumah.

“Saya mendapatkan kedua-dua anak saya sebelum dimaklumkan jiran bahawa mereka (anak) bermain bersama tiga ekor lotong di halaman rumah sehinggalah lotong menarik tangan anak saya ke arah semak.

“Jiran itu bertindak menghalau lotong itu dengan membaling selipar ke arah haiwan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur anak bongsunya hanya mengalami calar di tangan kiri akibat dicakar haiwan berkenaan.

Seorang penduduk, Zamry Mohd Ani, 32, ketika ditemui berkata, kampung itu sebelum ini bebas daripada ancaman haiwan liar namun sejak tiga minggu lalu, dua ekor lotong sesat muncul di sekitar kampung berkenaan.

“Tiga minggu lalu dua ekor lotong jantan entah dari mana datangnya, berkeliaran di kampung ini, dipercayai tertarik kepada beberapa pokok mempelam yang ditanam penduduk kampung yang buahnya sedang masak ranum di kawasan berkenaan.

“Dua minggu kemudian, seekor lagi lotong jantan muncul menjadikan jumlahnya tiga ekor dan keadaan itu amat membimbangkan sebelum saya membuat aduan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Pengarah PERHILITAN Negeri Melaka, Noor Zakiah Anum Mohd Noh berkata, pihaknya mengesahkan menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan mengenai kehadiran lotong sejak beberapa minggu yang lalu.

“Kami akan menyiasat perkara ini kerana kehadiran lotong tidak membahayakan ini dibimbangi mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanan dan tindakan selanjutnya akan dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2015 @ 7:44am
d