mutakhir

Jiran hidu bau busuk

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang wanita yang mengalami masalah mental ditemui mati di sebuah rumah di Blok Bakawali, Jalan Tun Dr Ismail, semalam dipercayai atas faktor kesihatan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhammad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, penduduk memaklumkan terhidu bau busuk dari rumah didiami mangsa sebelum menghubungi polis.

Beliau berkata, pihaknya bergegas ke lokasi menemui mayat wanita berkenaan dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak lima hari lalu berdasarkan keadaan penemuannya.

“Siasatan awal dijalankan mendapati wanita berusia 59 tahun ini adalah pesakit mental dan menghidap penyakit diabetes.

“Dia juga tidak berkahwin dan tinggal seorang diri di rumah itu,” katanya yang memaklumkan kematian tidak bersabit kes jenayah.

Muhammad Zaki berkata, mangsa sebelum ini difahamkan sering mendapatkan rawatan secara berkala di hospital dan klinik berhampiran.

“Kami percaya mangsa meninggal dunia disebabkan penyakit diabetes dihidapi dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 19, 2015 @ 7:44am
d