mutakhir

Lelaki kecut perut dibawa balai polis

Georgetown: Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol yang pada mulanya berlagak serta enggan memberikan kerjasama ketika diperiksa anggota polis mulai kecut perut dan merayu dilepaskan selepas dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, lelaki terbabit bersama rakannya yang berusia 20-an menaiki kereta Perodua Myvi ditahan sepasukan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dalam sekatan jalan raya di Jalan Pengkalan Weld ,di sini, jam 2.30 pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berhibur di sebuah premis hiburan dan ketika itu mereka dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

“Namun suspek enggan memberikan kerjasama menyebabkan anggota bertugas menegur kelakuannya itu, malah dia juga mempertikai tugas anggota polis yang mengeluarkan saman ke atasnya.

“Suspek cuba mencabar polis apabila mengeluarkan kata-kata biadab menyebabkan dia ditahan, namun gelagatnya itu berubah secara tiba-tiba apabila mula merayu dan minta dilepaskan selepas dimaklumkan akan di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki itu dan rakannya tetap dibawa ke IPDTL untuk pemeriksaan lanjut termasuk menjalani ujian saringan air kencing serta darah bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM6,000 dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun.

“Dalam operasi sama, kami mengeluarkan 50 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan tidak memakai tali pinggang keledar kepada pemilik kenderaan.

“Sebanyak 30 lagi saman dikeluarkan atas kesalahan melakukan halangan lalulintas dan tujuh motosikal disita kerana melakukan pengubahsuaian pada ekzos yang mengeluarkan bunyi bising,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dibuat dan berkata, siasatan masih lagi dijalankan.

Disiarkan pada: January 19, 2015 @ 7:58am
d