mutakhir

Ramalan hujan lebat dengan ombak setinggi 3.5m

Pangkalan Bun: Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menjangkakan hujan lebat dengan ombak setinggi 3.5 meter di sekitar lokasi pemindahan badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, sepanjang minggu ini.

Ketua BMKG Pangkalan Bun, Lukman Soleh berkata, pemantauan menerusi radar mendapati awan hujan kini tertumpu di sekitar Selat Karimata.

Berikutan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada.

“Kita jangka akan ada awan kumulunimbus di lokasi utama pencarian. Ini bukan saja menyukarkan kerja mencari dan memindah objek, malah berbahaya kerana menyumbang kepada kelajuan angin serta tinggi ombak,” katanya.

Memetik kenyataan lanjut Lukman di Suara.com, operasi SAR semalam berdepan banyak halangan termasuk hujan lebat dan ombak setinggi empat meter.

Begitupun, BMKG masih menjangkakan cuaca beransur baik di sebelah petang walaupun hujan di sepanjang aktiviti pemindahan badan pesawat terbabit.

“Apa yang penting, kita mahu mengingatkan pasukan SAR supaya berhati-hati dengan ombak tinggi antara dua hingga 3.5 meter yang berpotensi menyulitkan proses pemindahan.

“Buat masa ini, arus permukaan laut antara 25 hingga 70 sentimeter per saat dari arah barat sedangkan angin bertiup laju mencecah 15 ke 20 knot.

“Dengan keadaan laut dan potensi hujan yang tinggi, pasukan pemindahan harus sentiasa waspada dan berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Bambang Soelistyo berkata, pasukan gabungan akan mengosongkan badan pesawat AirAsia Indonesia dengan pendaftaran PK-AXC itu bagi memastikan tiada mayat tertinggal di dalamnya.

Keputusan mengangkat badan pesawat itu diambil selepas usaha menyelam untuk memindahkan satu per satu jenazah nahas sukar dilakukan kerana arus laut deras.

Terdapat tiga langkah pengosongan yang dicadangkan antaranya dengan belon pengapung, menggunakan kren di kapal tunda dan diangkut ke ponton serta membawa belon pengapung dan peralatan dari Batam.

Disiarkan pada: January 19, 2015 @ 8:01am
d