mutakhir

Jumpa lima lagi serpihan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Selat Karimata: Pasukan penyelam tentera Indonesia berjaya mengangkat lima serpihan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dari Laut Jawa termasuk dua tingkap pesawat bercat merah.

Semua serpihan itu berjaya diangkat ke kapal KRI Banda Aceh pada jam 10 pagi semalam.

Panglima Tentera Laut Kawasan Barat Widodo berkata, setiap penyelam cuba membawa naik apa sahaja serpihan yang mampu diangkat dari dasar laut.

“Terdapat tingkap pesawat dengan nombor C58, lampu, gear pesawat, ‘handlebar’ dan beberapa objek lain,” katanya yang memberitahu kapal KRI Banda Aceh masih meneruskan operasi di perairan Karimata, Kalimantan Tengah.‎

Selain itu, pasukan penyelam turut menemui sayap dan bahagian bahan bakar pesawat namun kedua-dua objek itu gagal dinaikkan ke permukaan laut.

Katanya, enam pasukan penyelam memulakan tugas sekitar jam 6 pagi semalam.

“Pasukan penyelam pertama terlebih dahulu memantau situasi di bawah air dan alat penanda yang sudah dipasang kelmarin.

“Terdapat satu alat penanda yang hilang akibat dipukul ombak besar. Pasukan kedua pula menemui sayap dan bahagian bahan bakar pesawat manakala pasukan ketiga hingga keenam melakukan pemetaan dasar laut,” katanya.

Pemetaan dasar laut diperlukan untuk merancang strategi seterusnya dan semua pasukan penyelam yang bertugas pagi semalam sudah kembali ke kapal KRI Banda Aceh.

“Serpihan pesawat ditemui itu akan dikumpulkan terlebih dahulu di KRI Banda Aceh sebelum diserahkan ke Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia,” katanya.

Sementara itu, proses pencarian pesawat AirAsia Indonesia tergendala lagi petang semalam akibat keadaan cuaca buruk.

Ketua Perhubungan Awam Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia Dianta Bangun berkata, ombak di kawasan pencarian bangkai utama pesawat berkenaan mencapai enam meter meskipun cuaca agak baik sejak pagi.

“Cuaca kurang baik dan ombak sudah mencapai enam meter,” katanya.- detik.com

Disiarkan pada: January 20, 2015 @ 7:53am
d