mutakhir

RM1.2j tambah 15,000 katil

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM1.2 juta bagi menambah 15,000 katil di hospital seluruh negara bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.

Menterinya Datuk Seri S Subramaniam berkata, beberapa projek hospital baru juga akan turut dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah setiap tahun.

“Kementerian menyedari kebanyakan hospital kerajaan di kawasan bandar yang padat dengan penduduk menghadapi masalah tidak cukup katil pada waktu tertentu, justeru kita akan menambah jumlah katil di hospital berkenaan.

“Selain itu, kita juga akan membina hospital baru dalam RMK-11 termasuk Hospital Kemaman memandangkan pesakit di daerah itu semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat tertutup di Dewan Ibnu Sina Hospital Kemaman, semalam.

Mengulas mengenai keracunan pada epal jenis Granny Smith dan Gala dari California, Amerika Syarikat, beliau berkata, kementeriannya akan mendapatkan maklumat penuh daripada pakar pemakanan mengenai perkara itu.

“Pada masa ini, saya nasihatkan orang ramai tidak memakan epal jenis itu sementara waktu selepas laporan keracunan pada buah berkenaan baru semalam (kelmarin) dihebahkan media,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memerlukan laporan penuh daripada pakar pemakanan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 20, 2015 @ 7:57am
d