mutakhir

'Dia pergi dengan baik'

Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: Kegembiraan sepasang suami isteri di Kampung Ujung Bukit, Bintong, di sini, menyambut kelahiran anak sulung bertukar kepiluan apabila bayi lelaki berusia 11 hari itu meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu, kelmarin.

Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika bayi lelaki malang itu sedang diberi susu badan oleh ibunya sambil ditidurkan.

Difahamkan, ibunya yang sedang menyusukan bayinya terkejut selepas mendapati anaknya tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum menghantarnya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan.

“Bagaimanapun, doktor yang memeriksa bayi berkenaan mengesahkan bayi lelaki itu sudah meninggal dunia dipercayai tersedak susu,” katanya.

Bapa bayi yang berusia 30-an ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam hanya menyatakan dia dan isteri reda dengan pemergian anak sulung mereka atas ketentuan Ilahi.

“Kalau boleh, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini (kematian) kerana dia (anak) sudah tiada dan dia pergi dengan cara baik.

“Semalam (kelmarin), sudah sehari suntuk kami berada di hospital dan anak kami pun sudah selamat dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumah kami, malam tadi (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pemeriksaan awal mendapati bapa bayi terbabit membawa anaknya ke HTF untuk rawatan selepas menyedari bayi lelakinya tiba-tiba kaku.

“Selepas dihantar ke hospital, doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2015 @ 8:05am
d