mutakhir

Bukan tempat mandi

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Hulu Selangor: Kegembiraan dua pelajar tahfiz memanfaatkan cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila kedua-dua mangsa lemas di sebuah kolam di Kampung Tuah, Bukit Sentosa di sini, kelmarin.

Dua pelajar terbabit, Mohamad Shahibuddin Mohd Iqbal, 14, dan Hafizuddin Azman, 13, ditemui mati lemas oleh pasukan penyelamat yang menjalankan gerakan mencari mangsa sejurus dimaklumkan kejadian itu jam 1 petang.

Sebelum kejadian, dua mangsa yang juga sahabat baik itu dikatakan bersama beberapa rakan lain memanfaatkan cuti hujung minggu mereka dengan mandi di kolam berkenaan.

Sebaik tiba di kawasan perkelahan itu, kedua-dua mangsa bersama rakannya mandi di kolam berkenaan yang turut menjadi pilihan penduduk tempatan untuk memancing ikan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Asisten Superintendan Faisal Sarip berkata, mangsa bagaimanapun lemas mendadak sebelum rakan mangsa segera menghubungi pihak polis.

Beliau berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemui selepas tiga jam usaha mencari dan menyelamat dilakukan polis dan anggota bomba dan penyelamat.

“Semasa kejadian, cuaca baik dan tidak hujan. Polis masih menyiasat punca dua remaja itu lemas,” katanya, semalam.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu di sini, untuk dibedah siasat dan keluarga mangsa turut dimaklumkan berhubung kejadian itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati memilih kawasan perkelahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kolam berkenaan bukanlah tempat orang ramai bermandi-manda,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2015 @ 8:19am
d