mutakhir

Ambil sampeluntuk analisis

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Kubu Bharu: Sampel dari kolam ternakan ikan air tawar di Batang Kali, di sini, sudah diambil oleh kakitangan Jabatan Perikanan Selangor semalam, untuk dianalisis.

Harian Metro semalam melaporkan keadaan persekitaran kolam itu yang kotor serta meloyakan dan ia dikesan hasil satu operasi bersepadu dilakukan pihak berkuasa, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Azlisha Abdul Aziz berkata empat kakitangannya pergi ke kolam ternakan itu petang semalam dan sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Menurutnya, hasil analisis berkenaan hanya boleh diketahui dalam tempoh 14 hari sama ada ikan ternakan kolam itu diberi makan babi sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

“Secara keseluruhannya, saya dimaklumkan pengusaha kolam terbabit memberikan kerjasama kepada pegawai kita sewaktu pengambilan sampel itu.

“Kita akan meneliti sampel itu yang meliputi keseluruhan kandungan bagi memastikan kesahihan wujudnya bangkai babi dan sisa ayam yang dijadikan makanan kepada ikan keli dan patin seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, pengusaha kolam terbabit, Siew Thin Yen, 38, menafikan dakwaan dia memberikan makanan bangkai haiwan termasuk babi yang dikisar sebagai bahan makanan ikan ternakannya.

Katanya, dia hanya memberikan perut ayam yang dibeli daripada Pasar Borong Selayang sebagai bahan makanan.

“Saya menghabiskan RM30,000 sebulan untuk membeli perut ayam dan tidak pernah memberikan babi sebagai makanan kerana orang Islam tidak makan haiwan berkenaan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan keadaan pusat ternakan ikan air tawar berkeluasan empat 4 hektar itu yang berbau busuk menyebabkan beberapa penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) muntah ketika operasi menangkap pekerja asing yang bekerja di situ.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 6:53am
d