mutakhir

Keputusan batal saman Zizan 10 Februari ini

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 10 Februari ini untuk keputusan terhadap permohonan pelakon dan pelawak Zizan Razak dan syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd (Wire Fame) untuk membatalkan saman bekas pengurus pelawak itu berhubung pembekuan akaun syarikat.

Hakim Datuk John Louis O’Hara menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar permohonan peguam Rishwant Singh yang mewakili Zizan dan peguam Jimmy Liew mewakili Wire Fame, dan peguam Harjit Sandhu yang mewakili Marina Juki (bekas pengurus peribadi).

Terdahulu Rishwant dalam hujahnya mendakwa tujuan anak guamnya membekukan akaun Wire Fame untuk memelihara dan mempertahankan aset syarikat.

“Zizan mengarahkan Maybank Islamic Berhad membekukannya selepas menyedari tiada keseragaman di dalam akaun.

“Arahan itu dibuat kerana Zizan akan ke luar negara selama beberapa minggu, bagaimanapun apabila pulang anak guam saya cuba menyahbekukan akaun serta menghubungi Marina bagaimanapun tidak berjaya,” katanya.

Beliau berhujah, ini jelas menunjukkan anak guamnya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap akaun sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pengarah.

Zizan memiliki 60 peratus saham dalam Wire Fame Entertainment manakala Marina 40 peratus.

Sementara itu, peguam Harjit Singh dalam hujahnya berkata, Marina mempunyai kuasa tindakan sah terhadap Maybank Islamic kerana secara salah membekukan dua akaun syarikat itu tanpa persetujuan kedua-dua pengarah syarikat atau mendapatkan perintah mahkamah.

Dia mendakwa, pembekuan akaun itu dibuat secara lisan oleh Zizan tanpa memberikan sebarang bukti kukuh.

Pada 30 September 2014, Marina memfailkan saman terhadap Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Ab Razak, 30, Maybank Islamic Bhd (Maybank Islamic) dan Wire Fame berhubung pembekuan akaun itu.

Pada 5 November 2014, Marina, 30, juga sebagai plaintif memfailkan saman terhadap Zizan menuntut ganti rugi khas RM535,500 berhubung perlanggaran kontrak.

Marina mendakwa pada 3 Mei 2011, dia bersama Zizan dan syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan melantiknya sebagai pengurus peribadi.

Bagaimanapun, Zizan didakwa melanggar perjanjian itu selepas menandatangani kontrak dengan pihak lain.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 7:54am
d