mutakhir

Takbir sebelum terjun

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: “Saya terkejut apabila lelaki itu menghampiri saya yang sedang mengemas peralatan memancing sambil melaungkan Allahuakbar sebelum membuang tiga beg ke dalam sungai,” kata Faizul Mohd Ali, 40.

Dia menceritakan kejadian seorang lelaki warga Indonesia terjun daripada jambatan Sungai Muar di Pekan Rompin, dekat sini, sebelum mayatnya ditemui, awal pagi semalam.

Faizul berkata, dalam kejadian jam 7.15 malam itu dia terkejut melihat gelagat lelaki itu yang dikenali sebagai Mochamad Mardjono, 40-an, yang turut meminta bantuannya mencampakkan motosikal miliknya ke dalam sungai.

“Sebaik lelaki itu campak tiga beg, dia minta tolong saya pula untuk buang motosikal miliknya sebelum saya secara bergurau menawarkan untuk mengambil motosikal itu daripada dibuang ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, lelaki itu yang tidak berbaju dan memakai seluar panjang hitam memanjat tembok jambatan dan berdiri di bahagian dalam tembok sebelum terjun ke sungai sambil bertakbir.

“Saya terperanjat apabila dia terjun ke dalam sungai dengan memakai topi keledar, namun tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya melihat dia dihanyutkan arus sungai,” katanya.

Penguasa Bomba Zon 3 Negeri Sembilan Zulkifli Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.53 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat membabitkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Bahau, BBDP Gemas, BBDP Seri Jempol dan BBDP Teluk Kemang, Port Dickson serta dibantu penduduk kampung.

Zulkifli berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut pada akar pokok di sungai itu jam 12.05 tengah malam, kira-kira satu kilometer dari tempat dia terjun dalam keadaan masih memakai topi keledar.

“Usaha membawa naik mayat mangsa selesai pada jam 3.05 pagi tadi (semalam) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih dilakukan.

“Kami menunggu laporan bedah siasat mayat mangsa bagi mengetahui punca kematiannya.

“Siasatan dilakukan daripada semua aspek dan saya difahamkan ada saksi melihat mangsa terjun dari jambatan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 8:09am
d