mutakhir

Lesen balak baru dibekukan

Petra Jaya: Pengeluaran lesen pembalakan baru akan dibekukan berkuat kuasa serta merta bagi menangani kegiatan pembalakan haram dan penerokaan hutan tidak terkawal di negeri ini sekali gus mengurangkan risiko bencana alam terutama banjir.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merangkumi langkah mengurangkan lebih separuh daripada Lesen Pendudukan (OT) bagi kerja pembersihan kawasan hutan sebagai inisiatif memulihara ekosistem di negeri ini.

Beliau berkata, dalam keghairahan mengejar pertumbuhan ekonomi berasaskan industri perkayuan, kepentingan usaha pemuliharaan alam semula jadi dan ekosistem tidak sepatutnya diabaikan.

“Ini bukan retorik atau wayang. Saya bercakap dan saya akan buat. Bukan saja bekukan lesen baru, malah akan kurangkan lebih 50 peratus OT sedia ada.

“Tiada alasan mengatakan pengeluaran kayu negeri ini tidak mencukupi. Dengan kapasiti mencecah sembilan juta meter padu setiap tahun, ia lebih daripada tahap mencukupi bagi menampung keperluan domestik dan pasaran eksport perkayuan kita,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Adenan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri berkata, pelaksanaan itu bukan hanya untuk memerangi pembalakan haram, malah sebagai mengambil iktibar kemusnahan hutan hingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur sebagaimana yang berlaku di Cameron Highlands tahun lalu, selain kemungkinan menjadi punca banjir luar biasa di Kelantan, baru-baru ini.

“Tindakan pembekuan lesen pembalakan itu juga jelas membuktikan kerajaan negeri serius memerangi kegiatan pembalakan haram, selain memulihara kepentingan ekosistem negeri.

“Keseimbangan ekosistem amat penting untuk tempoh jangka panjang, selain memastikan kemampanan pengeluaran hasil hutan negeri. Kita tidak mahu musibah yang berlaku di Cameron Highlands dan Kelantan berlaku di Sarawak,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 572 lesen penebangan dikeluarkan kerajaan negeri sehingga kini dengan 204 daripadanya membabitkan lesen penebangan hutan di tanah kerajaan dan estet hutan simpan, manakala 155 lesen merangkumi OT dan bakinya diberikan kepada pengusaha kayu bakau dan kayu belian.

“Kajian semula membabitkan bilangan lesen penebangan hutan adalah penting demi memastikan setiap pemegang lesen dapat dipantau secara cekap supaya mereka mematuhi segala peraturan yang digariskan dalam Ordinan Perhutanan Sarawak.

“Bagi memantapkan lagi usaha mengekang pembalakan haram, kerajaan negeri bercadang mengemukakan usul hukuman dan kompaun lebih berat dikenakan ke atas pembalak haram pada sidang DUN akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 8:11am
d