mutakhir

Boleh tarik nafas lega

Oleh Muhd Izawan Baharin

“Dalam segala kudrat manusiawi, kepada Allah kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling mustahak, seluruh rakyat Malaysia dalam satu solidariti, kita mampu menongkah apa jua cabaran serta rintangan.

“Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji kesenangan dan bahagia yang menanti.”

Demikian kata penutup perutusan khas Datuk Seri Najib Razak mengenai situasi ekonomi dan kedudukan kewangan negara, semalam.

Di sebalik kerunsingan terhadap kesan kejatuhan harga minyak mentah dunia terhadap ekonomi dunia, kejatuhan nilai ringgit dan bencana banjir, pengumuman Perdana Menteri itu sedikit sebanyak memberi nafas kelegaan kerana kita sudah tahu usaha yang akan dilaksanakan kerajaan.

Najib juga menegaskan Malaysia tidak berdepan krisis ekonomi seperti andaian beberapa pihak dan langkah diumumkan kerajaan itu dilakukan sebagai penyesuaian terhadap faktor luaran akibat perubahan harga minyak dunia.

Mungkin akan ada yang mengkritik langkah itu, apatah lagi beberapa projek mega yang diumumkan pada Bajet 2015 tetap diteruskan terutama membabitkan kepentingan rakyat.

Sejak krisis kewangan 1997 dan 1998 akibat serangan spekulator, Malaysia mempunyai cara tersendiri menanganinya walaupun pada permulaannya dikritik ramai.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata, langkah berani dan drastik dilakukan Malaysia ketika itu mendapat kecaman serta dianggap gila, namun akhirnya ia menjadi panduan negara lain untuk keluar daripada kegawatan ekonomi.

Ketika itu, Malaysia mengambil pendekatan tersendiri dengan mencari pasaran baru, mengikat nilai ringgit, membiayai bank serta syarikat penting selain mewujudkan pasukan kecil untuk menyelesaikan beberapa masalah yang timbul satu persatu.

Krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2008 pula memberi kesan negatif kepada negara global termasuk Malaysia.

Sekali lagi kerajaan mengambil langkah drastik dan berani dengan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi pada November 2008 dan Mac 2009 berjumlah RM67 bilion serta liberalisasi sektor kewangan dan perkhidmatan walaupun pada awalnya mendapat kritikan beberapa pihak.

Dua pakej itu akhirnya berjaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi lebih teruk, malah mencatat pertumbuhan di luar jangkaan sebanyak 9.5 peratus dalam tempoh separuh pertama 2010, berbanding 5.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2009.

Apa yang berlaku pada bulan-bulan terakhir 2014 sekali lagi menjadi cabaran yang perlu dilalui.

Kita tidak dapat meramal dengan tepat perubahan ekonomi pada tahun mendatang, namun menerusi beberapa strategi yang diumumkan, kerajaan memberi jaminan akan terus menumpukan terhadap pembangunan negara dan pada masa sama mengutamakan kebajikan rakyat.

Usaha itu perlu dilakukan kerana di setiap kesukaran, akan datang kesenangan.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 8:20am
d