mutakhir

Tangguh PLKN

Kuala Lumpur: Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mendaftar pada 6 Disember lalu akan meneruskan latihan sehingga tamat sebelum ia ditangguhkan sebagai langkah rasionalisasi perbelanjaan 2015.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohmed Asri Yusof berkata, JLKN bersedia melaksanakan penangguhan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkan program itu dikaji semula.

“Buat masa ini, PLKN masih berjalan seperti biasa. Pelatih yang mendaftar pada 6 Disember lalu dijadualkan tamat latihan 14 Februari depan.

“Selepas tarikh berkenaan, kami akan tangguh sesi pengambilan baru sebagaimana diumumkan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Dalam perutusan khas semalam, Najib mengumumkan empat langkah merasionalisasi perbelanjaan akan dilaksanakan kerajaan.

Antaranya menangguhkan PLKN 2015 dengan penjimatan RM400 juta bagi membolehkan program itu dikaji semula dan ditambah baik.

Mohmed Asri berkata, tempoh penangguhan selama setahun itu bukan saja membuka ruang penambahbaikan modul latihan, tapi memberi kesempatan kepada jabatan untuk memantapkan pentadbiran.

“Kami merancang merealisasikan transformasi PLKN menerusi kerjasama strategik dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Jika sekarang mereka dilatih berpandukan modul latihan biasa, pelatih pada masa akan datang pula dilengkapkan dengan kemahiran lebih mencabar, bersesuaian dengan alam pekerjaan.

“Untuk itu, kami akan wujudkan makmal khas bagi memperhalusi dan merumuskan semua pandangan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, beliau yakin kerajaan mengambil kira semua aspek sebelum menangguhkan PLKN 2015.

“Keputusan ini tentu dibuat berasaskan keadaan semasa, sesuai dengan cadangan kerajaan untuk menyemak semula PLKN di bawah Pelan Transformasi Kerajaan.

“Malah pengumuman Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengadakan makmal khas sebelum ini adalah keputusan proaktif untuk meninjau arah tuju PLKN di masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 8:21am
d