mutakhir

Mangsa banjir lega, gembira

Gua Musang: Mangsa banjir yang kehilangan kediaman Disember lalu menyambut baik pengumuman kerajaan membantu mereka menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar ini selain pembinaan rumah kampung bertiang tinggi.

Mereka menyifatkan cadangan itu terbaik bagi menyegerakan perpindahan mangsa banjir ke kediaman lebih selesa berbanding tinggal sementara di khemah di Bandar Utama, di sini.

Mangsa, Ab Rahman Ali, 80, berkata, pengumuman itu menggembirakan mangsa banjir kerana menunggu pembinaan rumah di penempatan baru mungkin mengambil masa.

Bagaimanapun, dia menyerahkan keputusan itu kepada kerajaan dan menerima saja bantuan yang bakal dilaksanakan itu.

“Saya sangat bersyukur, tambahan pula PPR sudah lama siap dibina hanya menunggu masa diberikan kepada penduduk,” katanya, di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Mohd Ghazali Saat, 43, berkata, mereka tidak ada kemampuan membina rumah baru kerana perbelanjaan tinggi.

Katanya, setakat ini tidak ada mangsa banjir mampu berbuat demikian dan masing-masing menunggu bantuan daripada kerajaan.

“Apapun kita terima segala bantuan termasuk rumah PPR yang sudah lama siap dibina walaupun sebelum ini ia dikhaskan kepada penduduk setinggan,” katanya.

Shakeri Md Nor, 51, berkata, dia bersyukur kerana tidak perlu berpindah kerana keluarganya sudah puluhan tahun tinggal di Kampung Baru.

“Walaupun rumah saya terletak kurang 50 meter dari Sungai Galas, saya dan keluarga nekad terus tinggal di sini.

“Dengan pengumuman pembinaan rumah bertiang tinggi, saya lihat ini langkah jangka panjang mengelakkan keadaan sama berulang dan saya berharap ia dipercepatkan,” katanya.

Sementara itu, Rogayah Husin, 50, dari Kampung Manek Urai, Kuala Krai berkata, dia bersyukur kerana bakal mendapat rumah selepas kediamannya hilang dibawa arus.

“Saya harap rumah berkenaan siap dalam masa ditetapkan,” katanya, di sini, semalam.

Seorang mangsa, Ahmad Daud, 60, dari Kampung Karangan, Kuala Krai berkata, pemberian rumah itu memberi sinar harapan kepada mangsa banjir yang masih bersedih.

“Saya gembira kerana bakal memperoleh rumah untuk berteduh dari panas dan hujan. Hanya ucapan syukur mampu diucap,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 9:18am
d