mutakhir

Ringan tanggungan rakyat

Putrajaya: Bencana banjir yang melanda beberapa negeri Disember lalu menyebabkan kemusnahan infrastruktur mencecah hampir RM2.9 bilion dan membabitkan 400,000 mangsa di seluruh negara.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sudah menyalurkan peruntukan tambahan RM500 juta, sebagai bantuan permulaan untuk kerja baik pulih dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadikan jumlah keseluruhan RM787 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai peruntukan awal, kerajaan menyediakan RM800 juta untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan.

“Antara langkah sudah dan sedang diambil kerajaan adalah membina rumah kampung bertiang setinggi 2.4 meter yang musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri dan menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang, Kelantan.

“Selain itu, kerajaan turut memberi bantuan RM500 bagi setiap keluarga yang terbabit banjir dan sumbangan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga,” katanya.

Najib berkata, kerajaan juga menyediakan RM893 juta ringgit bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir.

Bagi perniagaan yang terjejas pula, beliau berkata, tambahan RM100 juta disediakan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai pinjaman mudah.

Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan Kemudahan Bantuan Khas berjumlah RM500 juta untuk menyediakan pembiayaan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada kadar lebih rendah iaitu 2.25 peratus dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.

“Selain itu, BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM menangguhkan tempoh bayaran balik yang diambil sehingga enam bulan.

“Sementara Bank Rakyat pula tawar Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50,000 pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus dan bayaran balik pinjaman bermula selepas 6 bulan tarikh pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, sejumlah RM500 juta disediakan institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir yang diuruskan ProKhas.

Katanya, peniaga juga mendapat pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk tempoh 6 bulan bagi PKS di kawasan yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari ini.

Disiarkan pada: January 21, 2015 @ 9:18am
d