mutakhir

Nafi aniaya anak

Butterworth: Seorang lelaki menggelengkan kepala sebagai isyarat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap tuduhan menganiaya dan mendedahkan anaknya kepada kecederaan fizikal dan emosi.

Terdahulu, pertuduhan dibacakan terhadap Mohd Shaikful Adli Mohd Afendi, 33, di hadapan Masjistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab sebelum dia mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Mohd Shaikful Adli didakwa menganiaya anak perempuan dalam jagaannya yang berusia enam tahun dengan mendedahkan kanak-kanak itu kepada kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat A-03-24, Lorong Sungai Dua Utama 22, Taman Sungai Dua Utama, Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU), pada jam 7.23 malam, Khamis lalu.

Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Firdaus kemudian membenarkan Mohd Shaikful Adli diikat jamin RM8,000 bersama seorang penjamin selepas mendengar rayuan daripada peguam tertuduh Saiful Ambar Abdullah Ambar.

Selain itu, Muhammad Firdaus mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Jika melanggar syarat tambahan dikenakan terhadapnya (tertuduh), maka ikat jamin yang dibenarkan terhadapnya sebelum ini akan terbatal,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2015 @ 9:28am
d